Selagi menyandang jawatan presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan memanggil mesyuarat mana-mana kelompok dalam parti.

Mereka bebas untuk mengadakan mesyuarat sendiri tetapi beliau tidak akan mengiktirafnya, kata Anwar lagi.

"Tak ada umpamanya mesyuarat kelompok Saifuddin (Nasution Ismail), mesyuarat kartel, itu saya tak iktiraf...Saya tidak akan panggil mesyuarat (dengan) kelompok, saya panggil mesyuarat parti.

"Nak jumpa (dan) menghalakan kelompok (tertentu) bukan kerja presiden. Kena tunggu pilih presiden lain, kalau berani," katanya ketika berucap di Konvensyen PKR Kedah dan Perlis di Kulim, Kedah hari ini.

Istilah 'kartel' dalam PKR biasanya merujuk kepada kem timbalan presiden Azmin Ali. Dipercayai ini kali pertama Anwar menyebut istilah itu secara terbuka.

Kemelut dalaman PKR kembali hangat susulan pembatalan jemputan kepada Azmin untuk merasmikan Kongres Nasional Pemuda PKR.