Sesi pandu uji kereta terbang pertama negara dijangka dilakukan buat pertama kali, Khamis ini.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, akan melakukan sendiri pandu uji kenderaan yang boleh memuatkan dua orang itu.

Menyatakan ia akan dijalankan di Subang, beliau turut mengundang ahli Parlimen pembangkang menyaksikan sendiri sesi pandu uji kereta terbang berkenaan, bagi menampilkan kenderaan yang menggunakan ruang udara sebagai platform.

“Saya jemput Yang Berhormat Paya Besar (Mohd Shahar Abdullah-BN) jika mahu. Kita boleh duduk bersama kalau nak ambil gambar ketika kereta itu terbang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa bagi pihak kementerian di Dewan Rakyat, semalam.

Tertarik dengan kenyataan itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, mencelah kerana tidak diundang menyertai sesi berkenaan.

Celahan itu membuatkan ahli Parlimen ketawa dan Mohd Redzuan memanjangkan undangan kepada Mohamad Arif.