Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, menganggap kenyataan Zuraida Kamaruddin mengenai kesanggupannya dipecat merupakan satu pengakuan bersalah daripada naib presiden parti berkenaan.

Kata Saifuddin, tentu Zuraida sudah melakukan sesuatu kesalahan dan pelanggaran disiplin parti sehingga beliau boleh berkata demikian.

"Hanya orang yang jiwanya bersalah yang menyebut soal pemecatan.

"Orang yang tahu bahawa apa yang dilakukannya itu melanggar disiplin parti, orang itu sendiri yang akan keluar dari mulutnya bahawa dia bersedia untuk dipecat.

"Itu adalah sebagai pengakuan bersalah (admission of guilty) pada hemat saya," katanya semasa ditemui media di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, dalam ucapan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata beliau dan Azmin rela dipecat jika kenyataan keras dibuat kepada kepemimpinan tertinggi PKR menyebabkan mereka dianggap pengkhianat.