Kerajaan akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Goldman Sachs, walaupun terdapat laporan memaklumkan firma pengurusan pelaburan itu sedia membuat bayaran kepada Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat sebagai penyelesaian kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan tidak tahu menahu tentang perkara berkenaan sebagaimana yang dilaporkan oleh agensi berita antarabangsa Bloomberg.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan tetap bertegas akan meneruskan tindakan jenayah yang diambil terhadap bank pelaburan tersebut kerana ia membabitkan syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan Malaysia itu.

“Saya telah berhubung dengan pihak Peguam Negara dan beliau mengatakan bahawa kes ini dijangka didengar dibicarakan pada pertengahan tahun depan.

“Jadi, kes ini masih lagi dalam perbicaraan. Kita tidak ada dapat sebarang maklumat dan kerajaan Malaysia masih menuntut pembayaran sehingga AS$7.4 bilion,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Baru-baru ini, Bloomberg melaporkan bahawa Goldman Sachs Group Inc mungkin membayar tidak melebihi AS$2 bilion (RM8.32 bilion) untuk menyelesaikan siasatan jenayah dan pengawalseliaan atas peranannya mengumpul dana bagi 1MDB.

Pendedahan itu dibuat oleh tiga individu yang mengetahui rundingan berkenaan.