DAP hari ini melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pihak polis menghalang Kongres Organisasi Cina yang dianjurkan Dong Jiao Zong bagi membincangkan isu Jawi.

Sebaliknya, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, pihak berkuasa itu membenarkan Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan dua bulan lepas.

"DAP rasa kecewa dengan pihak polis, halang perhimpunan yang dijalankan oleh Dong Jiao Zong. Sekiranya dalam Malaysia baru, kita percaya kepada kebebasan bersuara, tidak ada sebab mengapa perhimpunan ini dihalang.

"Contohnya bila Kongres Maruah Melayu dibenarkan maka ini (Kongres Organisasi Cina) pun harus dibenarkan.

"Mungkin ada pihak yang tidak setuju dengan pandangan dikeluarkan tapi itu adalah salah satu aspek Malaysia baru," katanya dalam sidang media selepas menghadiri program literasi kewangan hari ini.

Beliau berkata perkembangan terbaru mengenai pembelajaran Jawi di sekolah vernakular, termasuk tindakan pihak polis, akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet akan datang.

Jumaat lepas, polis mendapatkan injunksi mahkamah untuk menghalang Dong Jiao Zong daripada menganjurkan Kongres Organisasi Cina yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu.