Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyambut baik cadangan oleh rakannya dalam kabinet untuk mengurangkan elaun menteri dan ahli politik.

"Sebagai menteri kewangan, apa-apa (langkah) penjimatan adalah suatu yang baik, kerana saya adalah menteri kewangan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri aktiviti literasi kewangan di kementeriannya hari ini.

Lim bagaimanapun berkata, bukan beliau yang akan membuat keputusan mengenai cadangan itu kerana ia juga akan memberi kesan kepada menteri-menteri lain.

"Tapi kerana ia melibatkan menteri-menteri lain, saya percaya perkara ni harus diputuskan oleh kabinet. Jadi biar ia ditentukan oleh kabinet, kerana bukan saya yang tentukannya. Saya kena hormati rakan-rakan," katanya.