Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata kabinet akan membuat keputusan mengenai cadangan pengambilalihan konsesi lebuh raya Plus Malaysia Berhad (Plus) dan jalan raya bertol minggu depan.

Bercakap kepada media hari ini, beliau berkata kerajaan perlu membuat keputusan segera supaya tidak terbeban dengan pampasan konsesi lebuh raya berikutan keputusan kerajaan membekukan kenaikan tol.

"Kabinet (akan membuat) keputusan minggu depan. Saya rasa ia mungkin minggu depan," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut cadangan oleh tiga kementerian berhubung pengambilalihan lebuh raya berkenaan.

Tiga kementerian yang terlibat dalam cadangan pengambilalihan tersebut ialah Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Kerja Raya.

"Biarlah kita tunggu keputusan kabinet mengenai perkara ini," kata Lim selepas menghadiri aktiviti literasi kewangan di Putrajaya hari ini.

Lim, bagaimanapun berkata salah satu daripada cadangan itu adalah untuk mengurangkan kadar tol lebuh raya pada 18 peratus selaras dengan pengumuman Bajet 2020.

Beliau berkata ini sekurang-kurangnya merupakan langkah pertama untuk pemansuhan tol seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan pada 2018.

Selain Lebuhraya Utara-Selatan yang dikendalikan oleh PLUS, kerajaan juga dalam proses perbincangan untuk pengambilalihan empat lebuh raya lain.

Ia adalah Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint (Sprint) dan Terowong Smart (Smart).