Pendakwah Islam, Dr Zakir Naik mengemukakan saman fitnah terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy kali kedua.

Kali ini, Zakir mendakwa Ramasamy memfitnahnya melalui komen yang disiarkan dalam portal The Malaysian Insight pada 8 Nov lalu.

Ramasamy memberitahu Malaysiakini beliau menerima writ saman pagi ini dan peguamnya akan bertindak balas terhadap perkara itu.

Writ saman itu difailkan melalui firma guaman Tetuan Akberdin & Co.

Saman itu difailkan berhubung artikel bertajuk "DAP leader accuses Zakir camp of ‘faking’ Tamil Tigers revival”.

Laporan itu memetik Ramasamy mendakwa penyokong Zakir telah 'mereka' kebangkitan semula gerakan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) walaupun LTTE tidak lagi aktif.

Laporan itu diterbitkan berikutan tindakan polis menahan 12 individu yang dikatakan penyokong LTTE, termasuk dua ADUN DAP.

Oktober lalu, Zakir menyaman Ramasamy berhubung empat pernyataan yang dikatakan fitnah.

Empat pernyataan itu dibuat dalam hantaran Facebook pada 10 April 2016, laporan berita Free Malaysia Today pada 1 Okt 2017 dan 11 Ogos tahun ini, dan temu bual video dengan media India Today pada 20 Ogos tahun ini.