Ada kemungkinan yang besar 16 anak kapal yang ditangkap pihak berkuasa Iran di Selat Hormuz pada Isnin bukan rakyat Malaysia, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

“Setakat maklumat yang ada, kita baru dapat tahu nama kapal. Enam belas orang kru itu kemungkinan besar bukan rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur malam tadi.

Menurut Saifuddin lagi, buat masa ini kerajaan tidak boleh menyebutkan maklumat yang diperolehi secara khusus.

“Kita masih menunggu maklumat yang paling tepat dari Kementerian Luar Iran,” katanya.

Terdahulu, agensi berita antarabangsa melaporkan, Pengawal Revolusi Iran merampas sebuah kapal kerana disyaki menyeludup minyak. Turut ditahan, 16 orang kru dalam kapal berkenaan.

Pihak berkuasa turut merampas 1.3 juta liter bahan api yang diseludup dari sebuah kapal yang tidak dinamakan, di kedudukan kira-kira 15 batu nautika dari pulau Abu Musa.