Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia supaya menunda perjalanan tidak perlu ke kawasan yang terjejas akibat kebakaran belukar di Australia sehingga keadaan bertambah baik.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar berkata, nasihat ini dikeluarkan berikutan pengumuman darurat tujuh hari oleh pihak berkuasa New South Wales (NSW) bermula 3 Januari kerana kebakaran hutan itu menjejaskan banyak kawasan di Australia, terutamanya di pantai timur negara itu.

Selain NSW, kawasan lain yang terjejas teruk termasuk Victoria dan Ibu Negara Wilayah Persekutuan Australia (ACT).

Wisma Putra juga menasihatkan rakyat Malaysia yang berada dalam kawasan yang terjejas itu supaya mengutamakan keselamatan mereka dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan wilayah.