Pendedahan audio didakwa rakaman perbualan Najib Razak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diyakini tidak akan jejaskan kempen BN.

Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau yakin pengundi Kimanis mampu menilai dan membuat keputusan bijak.

"Saya tidak nampak pengundi-pengundi di Kimanis terganggu dengan pendedahan kononnya terhadap bahan-bahan siasatan yang dibuat oleh badan penguatkuasa.

"Saya fikir mana-mana badan penguatkuasaan harus berpijak dalam bidang tugas masing-masing dan jangan dijadikan alat politik, terutamanya bagi mengalihkan isu dalam mana-mana PRK atau pilihan raya yang diadakan.

"Bagi saya pengundi di Kimanis bijak untuk menilai dan isu-isu tidak menjejaskan keyakinan dan kepercayaan mereka kepada calon BN," katanya ketika ditemui selepas ceramah perdana Dun Bongawan, malam tadi.

Hadir sama, bekas anggota Parlimen Kimanis, Anifah Aman, dan Pengerusi BN Sabah Bung Mokhtar Radin.

SPRM semalam dalam satu sidang media mendedahkan sembilan set rakaman audio yang antara lain memaparkan perbualan beberapa tokoh berprofil tinggi, termasuk Najib; isteri beliau, Rosmah, bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad; dan bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji, Abdul Azeez Abdul Rahim.

Perkara itu dedahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.