Jabatan Peguam Negara tidak akan mendakwa Anwar Ibrahim atas dakwaan serangan seksual terhadap Muhammed Yusoff Rawther kerana kekurangan bukti.

Dalam satu kenyataan hari ini, Peguam Cara Negara Engku Nor Faizah Engku Atek berkata terdapat percanggahan-percanggahan fakta yang material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan mana-mana orang di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen lain di bawah Kanun yang sama.

“Kami juga mendapati tidak terdapat cukup keterangan untuk membuat pertuduhan mengenai laporan-laporan polis yang dibuat berdasarkan keterangan-keterangan yang ada dalam kertas siasatan.

“Dalam hal keadaan yang demikian, kami bersetuju dengan saranan PDRM supaya kes ini ditutup,” katanya sambil menambah penyiasatan boleh dibuka semula sekiranya dan apabila terdapat keterangan baru.

Muhammed Yusoff Rawther dalam akuan bersumpah mendakwa kejadian itu berlaku di kediaman Presiden PKR tersebut di Segambut pada 2 Oktober tahun lalu.

Dia kemudian membuat laporan polis pada 7 Disember bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan berkenaan. Dia juga sudah melakukan ujian poligraf di Bukit Aman pada 17 Disember tahun lalu.

Anwar walau bagaimanapun menafikan dakwaan salah laku seks yang dilemparkan terhadapnya dan berkata pada tarikh berkenaan beliau sedang sibuk berkempen sempena Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

Kenyataan Engku Nor Faizah tidak menyebut nama pengadu atau tertuduh, mahupun perbuatan yang dikatakan satu kesalahan itu.

Sementara itu, Engku Nor Faizah menjelaskan bahawa Peguam Negara Tommy Thomas tidak terlibat dalam kes itu kerana pernah dikaitkan dengan Anwar.

"(Peguam Negara) telah menarik diri daripada membuat apa-apa pertimbangan berhubung kes itu.

“Satu pasukan timbalan pendakwa raya di bawah pengawasan saya telah diamanahkan untuk mengkaji keterangan dan selanjutnya membuat keputusan mengenainya,” katanya.