Parti politik perlu mengambil tindakan segera terhadap anggotanya yang jelas melakukan kesalahan, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, parti politik tidak boleh memberi gambaran bahawa ia tidak tegas dalam berdepan soal jenayah dan rasuah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan penangkapan sejumlah anggota parti dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Puchong, kerana disyaki menyalahgunakan dadah.

Antara yang ditahan ialah adun Dengkil dari Bersatu, Adhif Syan Abdullah dan seorang anggota Angkata Muda Keadilan (AMK).

"Kalau sudah sah penangkapan dan ujian (air kencing), biasanya kita ambil tindakan segera dengan menggantung (keahlian).

"Tetapi selalunya kita serahkan kepada lembaga disiplin (untuk buat keputusan) dala masa singkat," katanya kepada pemberita selepas berucap dalam satu ceramah di Kampung Pimping di Kimanis.

Dalam serbuan awal pagi Ahad, 17 individu termasuk enam wanita ditahan dalam serbuan itu.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, hasil ujian saringan air kencing didapati 16 daripada mereka positif dadah, manakala seorang lagi negatif.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti mereka sebelum keputusan ujian saringan kali kedua.