Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther berhubung dakwaan serangan seksual.

Beliau berkata demikian susulan keputusan Pejabat Peguam Negara tidak akan membuat pendakwaan atas dakwaan serangan seksual terhadap Yusoff.

“Ya saya (sudah) keluarkan kenyataan berkenaan (berhubung kenyataan Jabatan Peguam Negara) dan saya terus saman,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah di Kampung Pimping, di sini, semalam.

Sementara itu, Anwar dalam kemas kini di laman Twitter pada Selasa menyifatkan tuduhan tersebut sebagai jelik dan satu penghinaan.

“Untuk memastikan keadilan ditegakkan, tindakan undang-undang yang telah dimulakan sebelum ini akan diteruskan," ujarnya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menzahirkan penghargaan terhadap keputusan itu, selain ia menunjukkan tahap profesionalisme pihak berkuasa dalam menyiasat perkara tersebut.

Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek menerusi kenyataan berkata, pihaknya mendapati terdapat percanggahan fakta yang material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan mana-mana orang di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan atau mana-mana seksyen lain di bawah kanun sama.