Kerajaan akan melaksanakan pengurangan 18 peratus ke atas kadar tol bagi pengguna kenderaan persendirian di semua lebuh raya milik Plus bermula seawal 1 Februari.

Lebuh raya yang terlibat ialah Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), Lebuh Raya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuh Raya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (Elite), Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP).

Keputusan itu dibuat susulan keputusan jemaah menteri dalam mesyuarat kelmarin, menurut Pejabat Perdana Menteri.

Pejabat perdana menteri juga berkata kadar tol Plus akan berkurangan daripada 13.6 sen/km kepada 11.15 sen/km.

“Apabila ia dilaksanakan, kadar tol baharu ini lebih rendah daripada kadar tol pada tahun 1999 (11.24 sen/km),” menurut kenyataan pejabat itu hari ini.

“Ini bermakna kadar tol Jalan Duta ke Alor Setar akan ditetapkan kepada RM45.50 berbanding RM55.50, manakala kadar tol Jalan Duta ke Skudai menurun kepada RM38.50 daripada RM47.00 sekarang ini.”