Lima wakil Gabungan NGO Pendidikan dan Ummah hari ini dipanggil polis berhubung tindakan mereka berjalan ke Pejabat Perdana Menteri pada 7 Feb lalu, ketika membantah pelaksanaan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Peguam yang mewakili NGO berkenaan, Mohd Khairul Azam Abdul berkata, mereka bukan disiasat kerana menyerahkan memorandum bantahan seperti yang difahami sesetengah pihak.

Kesemua mereka disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan memberi keterangan hampir dua jam di ibu pejabat Polis Putrajaya.

“Hari ini (siasatan), tiada langsung berkenaan kandungan memorandum tetapi isunya waktu mereka berjalan lepas solat Jumaat dari Masjid Putra ke pondok pengawal Pejabat Perdana Menteri.

“Selepas selesai (solat Jumaat) mereka jalan sama-sama. Hanya itu disiasat dalam Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya kepada pemberita selepas anak guamnya selesai memberi keterangan.

Jelasnya, perjalanan sewaktu penyerahan memorandum tersebut hanya mengambil masa 10 minit dengan jarak kurang 500 meter.

Antara wakil NGO yang hadir bagi memberi keterangan adalah Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Awang Sariyan dan wakil dari Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Mohamad Saleeh Rahamad.