Seorang kanak-kanak tercampak dan bernasib baik tidak digilis kenderaan lain gara-gara dua kereta dipercayai berlumba, di Lebuh Raya Senawang - Ayer Keroh petang semalam.

Menurut polis dua kereta itu membabitkan Perodua Myvi dan Honda Jazz.

Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka yang tular di media sosial hari ini, kedua-dua kereta terbabit dilihat dipandu secara berbahaya ketika trafik sibuk di laluan berkenaan.

Pada satu ketika salah satu kereta itu menukar lorong dari kiri ke kanan secara mendadak sehingga menghimpit sebuah kereta Honda Civic yang kebetulan berada di situ.

Pelanggaran itu menyebabkan pemandu Honda Civic terbabit terbabas dan melanggar besi penghadang jalan. Kesan hentakan itu dipercayai menyebabkan seorang kanak-kanak di dalam kereta terbabit tercampak ke laluan kanan lebuh raya berkenaan.

Bagaimanapun dia bernasib baik apabila kereta lain sempat memberhentikan kereta dan kanak-kanak itu segera diangkat ke tepi.

Mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban untuk rawatan lanjut.