Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengesahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah telah berkenan melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri interim.

Katanya, pelantikan itu sementara menunggu seorang perdana menteri yang baru mengangkat sumpah jawatan selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah dimaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menerima peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri Malaysia.

“Walau bagaimanapun, baginda telah berkenan untuk melantik beliau sebagai perdana menteri interim, sementara menunggu pelantikan perdana menteri yang baru.

“Justeru dalam tempoh ini, beliau akan menguruskan pentadbiran negara sehingga perdana menteri baru dilantik dan kabinet dibentuk,” kata Mohd Zuki menerusi satu kenyataan, lewat petang ini.