Di Alor Setar, Kedah, Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir berkata negeri itu kini ditadbir bersama oleh Bersatu dan PH.

Menurut menteri besar itu, bagaimanapun ia bukanlah kerajaan perpaduan seperti yang dibayangkan oleh bapanya merangkap perdana menteri interim, Dr Mahathir Mohamad.

"Semuanya kekal kecuali kami kini dikenali sebagai kerajaan Bersatu-PH," katanya.

Beliau juga memberitahu, pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa.

Kata Mukhriz beliau mengadap pihak istana hari ini dan memaklumkan perkembangan politik semasa, selain menyerahkan 18 surat perakuan daripada semua Adun PH dan Bersatu yang menyokongnya kekal sebagai menteri besar.

"Baginda sultan memperkenankan surat sokongan itu, justeru kerajaan negeri berharap rakyat kekal tenang dan rasional," katanya.

Mukhriz menambah, Kedah tidak terjejas dengan perkembangan yang berlaku di peringkay pusat.

"Fokus kami ialah Kedah dan kami berharap krisis yang berlaku sekarang dapat diselesaikan segera," katanya.

Menemani Mukhriz membuat kenyataan itu ialah Adun dari Amanah, DAP dan PKR.