Tiga pemimpin utama Perikatan Nasional Perak hari ini menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta di Ipoh, bagi menyembah maklum mengenai situasi politik terkini di negeri berkenaan.

Mereka yang mula tiba di istana berkenaan kira-kira 2.30 petang tadi ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad; Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria.

Ini kali kedua ketiga-tiga pemimpin berkenaan menghadap Sultan Nazrin selepas yang pertama pada Selasa setelah Perikatan Nasional Perak sepakat untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Terbaharu, Perikatan Nasional (PN) Perak telah mengemukakan tiga nama calon menteri besar Perak kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Ahmad Faizal Azumu mengesahkan bahawa ketiga-tiga calon itu ialah dirinya sendiri selain Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS negeri Razman Zakaria.

Pada Selasa, Sultan Nazrin memberi perkenan peletakan jawatan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak.