Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan bahawa keseluruhan pasukan pembelaan Najib Razak kini diletakkan di bawah kuarantin rumah berikutan kebimbangan wabak Covid-19.

Ini selepas peguam utama, Muhammad Shafee Abdullah mempunyai kontak dengan individu yang mempunyai kontak secara langsung dengan pesakit Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Shafee, Noor Farhah Mustaffa kepada hakim Collin Lawrence Sequerah tengah hari ini.

Noor Farhah berkata Shafee mempunyai kontak dengan individu berkenaan ketika kenduri di rumahnya pada Sabtu lepas.

Najib yang dalam perbicaraan kerana tuduhan menggelapkan wang 1MDB, hadir di mahkamah dan berada di kandang tertuduh pada masa itu.

Ketika Noor Farhah bercakap kepada mahkamah hari ini, bangku dan meja pasukan pembelaan dilihat kosong, dengan Shafee juga dilihat tidak berada di mahkamah.

Noor Farhah berkata beliau dimaklumkan bahawa Shafee hanya mendapat tahu bahawa individu ditemuinya mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19 pada sekitar jam 12.00 tengah hari ini.