Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata situasi COVID-19 di republik itu masih terkawal.

“Kita tidak akan menaikkan tahap DORSCON (Amaran Kedudukan Sistem Tindak Balas Perebakan Penyakit) kepada Merah,” katanya dalam ucapan mengenai COVID-19 yang disiarkan melalui televisyen hari ini.

Beliau berucap dalam tiga bahasa dan menyentuh tiga aspek iaitu perubatan, ekonomi dan psikologi.

Republik itu telah menaikkan tahap amaran DORSCON kepada “Jingga” daripada “Kuning” pada 7 Februari.

Tahap-tahap dalam DORSCON ialah Hijau, Kuning, Jingga dan Merah dengan Hijau merupakan amaran paling rendah manakala Merah yang tertinggi.

Hsien Loong juga berkata Singapura tidak akan mengenakan langkah pengurungan atau pengasingan seperti yang dilakukan oleh kerajaan China, Korea Selatan atau Itali.

Republik itu setakat ini mencatat 187 kes positif manakala 96 pesakit telah pulih sepenuhnya.