Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini mendedahkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersetuju mencadangkan agar semua masjid ditutup selama 10 hari.

Dalam hantaran di media sosial, Asri berkata, cadangan itu berdasarkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ia termasuklah bagi semua aktiviti di masjid termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah.

"Selepas satu sessi muzakarah khas malam tadi, berasaskan pandangan KKM, alhamdulillah, pihak Jakim bersetuju mencadangkan agar masjid-masjid ditutup dari semua aktiviti termasuk solat jemaah dan solat Jumaat selama 10 hari.

"Penamatan atau perlanjutan tempoh selepas itu akan dimaklumkan semula berdasarkan taklimat KKM.

"Pengumuman rasmi akan dibuat nanti," kata Asri yang pada Jumaat lalu mengumumkan agar solat Jumaat pada minggu itu digantikan dengan solat Zohor di rumah.

Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, Penolong Pengarah Kanan Seksyen Komunikasi Korporat Jakim, Nor Zaidan Ahmad berkata belum ada keputusan muktamad mengenai perkara berkenaan.