Bank telah diarahkan untuk memberikan moratorium enam bulan secara automatik terhadap semua pembayaran pinjaman dan pembiayaan mulai 1 April.

Bagaimanapun, moratorium ini tidak terpakai untuk baki kad kredit.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu dibuat selepas melakukan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan Bank Negara.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata keputusan ini penting untuk membolehkan syarikat-syarikat terus berkemampuan mengekalkan pekerjaan dan segera meneruskan aktiviti perniagaan.

Dalam surat kepada semua institusi perbankan hari ini, timbalan Gabenor Bank Negara, Jessica Chew berkata matlamat langkah ini adalah untuk meringankan aliran tunai IKS dan individu berikutan wabak Covid-19.

Untuk layak menerima kemudahan ini, peminjam tidak boleh ada bayaran tertunggak melebihi 90 hari sebelum 1 April dan pinjaman tersebut mesti dalam Ringgit Malaysia.