Sebuah pesawat Lionair terbakar dan meletup di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino pada jam 8 malam, Ahad waktu tempatan, sekali gus mengorbankan semua lapan orang di dalamnya, lapor media Filipina.

Lionair, merupakan syarikat penerbangan yang berpangkalan di Filipina, dan berbeza dengan syarikat Lion Air, iaitu syarikat penerbangan tambang rendah dari Indonesia.

Pesawat RPC 5880 itu membawa lapan penumpang yang terdiri daripada anggota perubatan, jururawat, doktor, tiga anak kapal, seorang pesakit warga Kanada dan pesakit warga Amerika.

Difahamkan menurut laporan awal, pesawat yang mahu berlepas ke Jepun itu digunakan sebagai ambulans udara oleh Jabatan Kesihatan Filipina, dan sebagai aset penting dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan negara itu kemudian mengeluarkan kenyataan yang antara lain menafikan pesawat itu digunakan untuk membawa bekalan perubatan ke lokasi penularan wabak COVID-19 di Filipina.

Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 9.02 minit malam waktu tempatan.

Senator Richard Gordon, yang merupakan Pengerusi Palang Merah Filipina mengesahkan kejadian tersebut menerusi akaun Twitternya.