Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Sungai Lui, Hulu Langat di Selangor berjalan dengan baik dan penduduk setempat juga kelihatan sangat tenang, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

Kata Abdul Hamid pihak polis yang ditugaskan berkawal di kawasan tersebut sebelum ini sudah membuat hebahan agar orang ramai tidak keluar dari rumah masing-masing.

Beliau juga berkata tiada kejadian tidak diingini berlaku setakat ini.

"Saya buat tinjauan ke kawasan Sungai Lui ni untuk melihat sama ada petugas polis sudah pun menjalankan peranan dan tanggungjawab untuk memastikan kawasan ni betul-betul dapat disekat pergerakannya 100 peratus," katanya kepada media di satu daripada sekatan jalan raya yang dibuat di laluan kawasan berkenaan.

Kerajaan mengenakan PKPD di kawasan terbabit mulai tengah malam tadi selepas sebahagian besar penghuni asrama sebuah sekolah agama dijangkiti Covid-19.