Kerajaan akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan mulai 4 Mei ini, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata langkah itu susulan dua daripada enam strategi dan perancangan kerajaan dalam memerangi wabak iaitu ketegasan dalam tindakan mengawal Covid-19 dan membina ketahanan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin telah membuahkan hasil.

"Kita telah bersedia untuk memulakan pendekatan ketiga, iaitu membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati. Dengan ini kerajaan akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat atau PKPB," katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja hari ini.

Bagaimanapun, tegasnya aktiviti melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan wabak masih tidak dibenarkan.