Selepas mengadakan pertemuan dengan polis di Bukit Aman hari ini, M Indira Gandhi berharap dia dapat bertemu dengan anak perempuannya, Prasana Diksa, sebelum sambutan Deepavali tahun ini.

Indira dan wakil Pasukan Bertindak Indira Gandhi (Ingat) bertemu dengan pegawai Bukit Aman selama kira-kira sejam pagi tadi.

Awalnya mereka dijadual bertemu Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador namun peguam Indira, S Ambiga, memberitahu beliau tidak dapat hadir kerana terpaksa menghadiri mesyuarat lain.

Menurut Indira, isu yang dihadapinya ketika ini tidak ada kaitan dengan agama sebaliknya dia - sebagai ibu - hanya mahu menemui anaknya.

Turut hadir dalam pertemuan itu adalah Pengerusi Indira Gandhi Action Team (Ingat), Arun Dorasamy dan peguam Sachpreetraj Singh Sohanpal.