Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif pada Sabtu (10 Mei) berkata negaranya menyambut baik perjanjian gencatan senjata dengan India demi kestabilan serantau. Dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di saluran PTV, beliau menyatakan keyakinan bahawa isu-isu berbangkit seperti perkongsian sumber air dan konflik Kashmir akan dapat diselesaikan menerusi prinsip keadilan dan dialog damai. Persetujuan gencatan itu dicapai susulan tekanan diplomatik dan rundingan oleh Amerika Syarikat, namun beberapa letupan dilaporkan berlaku di kawasan utama di Kashmir India hanya beberapa jam kemudian. Konflik empat hari antara kedua-dua negara itu merupakan yang terburuk dalam hampir tiga dekad.