Dalam diskusi bertajuk Masa Depan Kerjaya: AI, STEM dan Gen-Z di program Awani Pagi, dua pensyarah kanan dari UiTM menekankan kepentingan memperkukuh pendidikan STEM di peringkat sekolah serta peranan AI dalam membentuk kerjaya masa depan. Dr. Mohamad Hisyam Ismail dari Fakulti Pendidikan menyatakan bahawa pelaksanaan STEM perlu dimantapkan dan tidak hanya bergantung kepada pendekatan tradisional, sebaliknya perlu merangkumi elemen digital dan AI yang berkait rapat dengan TVET. Sementara itu, Dr. Raja Mayang Delima Mohd Beta dari Fakulti Pengurusan Perniagaan menekankan bahawa AI dan automasi telah mengubah cara kerja manusia dalam pelbagai sektor, dan lebih 30% pekerjaan baharu kini berkait dengan data dan AI. UiTM juga telah memulakan pengenalan modul AI dalam pelbagai bidang kursus.
